Firdausi Itu Impianku. Hidupku Adalah Untuk Allah. Doakan aku, kawan !

Firdausi Itu Impianku. Hidupku Adalah Untuk Allah. Doakan aku, kawan !

Kanak-Kanak Ribena >

KeOseman Itu Di Sini.

"Akak, macamana kita yang sebagai doktor nanti nak maintain stamina dan fizikal kita? Sebab kita kan kena banyak bergerak macam robot tak ada suiz mati.."

Dalam kepala saya apabila diri sendiri melontar pertanyaan tersebut, saya dah bayang bahawa mesti kakak ni akan sebut jaga pemakanan, diet yang seimbang dan exercise selalu untuk terus ramping macam retis. Err.

Tapi..
Tapi..

Jawapan senior klinikal tahun 5 itu sungguh tidak saya duga.

"Bagi akak, kalau kita tahu dan jaga tanggungjawab kita sebagai muslim, 10 muwasafat tarbiyyah, InshaAllah segalanya okay. Kan kita tahu, kita kena jadi objek bergerak yang memberi manfaat kepada ummah. Of coz lah kita sendiri kena jaga kesihatan."

Saya terdiam. Cara jawab yang tidak saya jangkakan itu mengundang kagum di hati. Dari situ, saya dapat melihat cara fikir beliau adalah lain dari biasa. Lebih unik.

Alhamdulillah, tak terjangkau awan nak melafaz kesyukuran kerana Allah hadirkan hidayah dan taufiq kepada saya untuk hadir ke program anjuran batch dengan kerjasama MMJ ini ; ESPIRIT MEDICUS walaupun hati ni berat mengalahkan bayi gajah yang berusia 5 bulan. Heh. Yelah. Bagi saya, keluar di petang hari akan mengurangkan tenaga saya lantas bikin saya cepat penat dan gagal menghabiskan pembacaan nota kuliah ketika di malam hari. Ceh! Konon.

Padahal hari-hari memang saya tidur awal. Aduh.

Satu kata dari saya, program ini sangat OSEM! Begitu banyak perkongsian dari senior tahun 5 yang telah membuka mata saya untuk sedar realiti yang bakal saya hadapi. Bukan saya tak pernah tahu, tapi kadang diri ini selalu lupa sehingga bikin semangat diri naik turun dan terbabas entah ke mana. Kadang diri mempersoalkan kenapa aku kena belajar spesies kuman yang namanya mengalahkan alien dari planet Utarid ni semua? Kenapa pengasas segala ubat tak buat nama yang senang-senang saja untuk ubat yang diorang hasilkan? Kenapa? Kenapa saya kena belajar semua ni untuk jadi doktor? Bukannya saya dapat ingat pun!

Alhamdulillah, nyata program ini memberi anjakan baru dalam pemikiran saya. Cukuplah wahai diri. Cukuplah memberi alasan dan memberontak. Jadi manusia bijaksana yang cintakan ilmu dan lupakan alasan.


Begitu banyak yang saya dapat tapi tak mampu nak ingat setiap patah perkataan yang terlontar dalam kalam mereka. Cuma segalanya saya rumuskan dalam ayat dan kefahaman saya sendiri.

'Saya sendiri perlu jadikan tahajjud sebagai sumber kekuatan dalaman kerana pergantungan kepada Allah itu sangat perlu dalam mensadokan diri sendiri apabila sudah mula melangkah ke alam klinikal. Hatta di alam pre-klinikal ini juga pun sudah jadi cukup besar cabaran yang saya perlu berkung fu dengannya, Aduh. Maka, Allah sumber kekuatan saya.

Saya perlu jaga kesihatan, fizikal dan mental. Ini keutamaan. Sebagaimana ibu mendoktrinkan saya sejak dari kecil tentang peri pentingnya tubuh badan yang sihat, makan minum tidur perkumuhan kena maintain di tahap superb. Jangan pernah menganak tirikan kesihatan walau sesibuk mana pun!

Paling penting saya perlu ingat, jangan mudah melayan rasa mengantuk ketika mendengar lecture berhikayat di dalam kuliah. Kerana apa? Kerana boleh jadi waktu saya tersengguk di dalam kelas sampai tak faham apa yang doktor ajar itu, ada senior di hospital yang sedang dimarahi doktor kerana kurangnya kefahaman tentang apa yang pernah dipelajari dulu semasa di pre-klinikal. Bizob!

Saya perlu selalu kuatkan diri dan hambat jauh-jauh segala rasa penat dan mengantuk. Tidur saya perlulah hanya dalam lingkungan 5 hingga 8 jam sahaja. Saya perlu tahu bahawa tubuh saya masih muda belia dan jasad saya masih penuh dengan upaya. Saya sudah tidak punya banyak masa untuk duduk bersenang-lenang. Ummah yang tenat memerlukan seseorang yang berjiwa besar untuk menghulurkan tangan menarik mereka dari jatuh tersungkur ke lembah kemurkaan.

Enjoy segala yang sedang saya lalui sekarang. Jangan kerana takut atau tak shabar nak melangkah ke masa akan datang atau ke fasa baru buat diri saya tunggang-langgang di masa sekarang. Kalau saya suka persatuan, sertai persatuan. Kalau saya suka bersukan, buat apa yangs saya suka.

Yakin untuk korbankan masa dan duit bagi menghadiri kelas pengajian mingguan dan program yang membina diri muslim. Jangan setelah 6 tahun saya belajar di bumi Jordan ini, bila minda menoleh belakang, hati tercalar melihat kealpaan diri yang gagal menggapai apa yang dihajatkan. Jangan tergesa-gesa mengejar masa hadapan kerana by time you will learn everything..'

Alhamdulillah.

Semoga hati saya semakin tsabat dan juhud untuk belajar dan menguasai ilmu feberet sejak tadika ini. Biarlah susah, biarlah penuh getir dan cabaran. Saya tahu, manusia hebat itu tak akan mampu dilabel hebat selagi dia belum bertaaruf dan tafahum dengan segala mehnah yang Allah sediakan. Ujian Allah kan untuk menguatkan hambaNya?

Senyum.

Qasrus boleh ! I trust that nothing can't stop me to achieve my dream except my own self. Sebab itu, peratusan paling tinggi untuk berjaya adalah datangnya dari SIKAP.

Qasrus, please. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Jernihkan fikrah dan mantapkan psikologi.


Sahabat, doakan saya !
Semoga perjalanan budak perantau ini baik-baik saja.

Kerana Jadi Doktor Dan Perjalanan Nak Jadi Doktor itu best,
Maka Wahai Allah.. 
ceriakan hidupku di bumi barakah ini. 
Kerana keOseman itu di sini. 
Izinkan aku jadi pembelajar yang cintakan ilmu demi mengejar redhaMu.

Allah yusahhil umurana. Insha Allah !

Bukan Chenta Biasa...

Kagum.

Satu kalam yang terbit dari jiwa yang dalam.

PINTAR petang tadi yang sepatutnya akan sama-sama membedah siasat movie ditangguh. Ada jemputan khusus untuk PINTAR kami sama-sama mengimarahkan majlis penganugerahan ijazah sanad Al-Quran kepada seorang kakak senior dari Universiti Yarmouk yang sudah di tahun akhir pengajian.

PINTAR : Usrah Persatuan PERMAI, Jordan.

Tak termampu nak membilang kesyukuran kepada Dia dengan jari hatta kalkulator saintifik yang saya pakai masa SPM dahulu pun kerana Allah telah memberi pengalaman indah kepada saya untuk menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana anugerah ini berlangsung. Alhamdulillah ya Robb! Ditambah juga dengan jumuan Nasi Kabsah dengan taburan kacang dan kismis segar air tangan Orang Palestin, Perghh, memang kena lah dengan perut saya yang masih banyak ruang kerana belum menjamah apa-apa makanan sejak balik dari kuliah.

*Terjun katil kerana terlalu gumbira.

Sedikit sebanyak tersuntik semangat untuk cuba mengorak langkah mengikut jejak kakak tersebut.
Sungguh, ia bukanlah mudah. Mendapatkan ijazah dalam Al-Quran bermakna anda telah diiktiraf mempunyai penguasaan yang baik dalam Al-Quran. Serba-serbi tentang Al-Quran ; pembacaan, tajweed, makhraj dan seangkatan dan selori treler dengannya. Dan proses ini tidaklah semudah mengunyah kacang goreng yang dibeli di pasar malam depan rumah nenek anda atau tidak juga semudah mengira jumlah lubang untuk dimasukkan tali kasut. Eh.

Tatkala sheikhah membaca Ijazah dengan menyebut nama kakak tersebut, perlahan bening matanya basah. Begitu juga dengan kakak senior tadi. Suasana syahdu. Sepi dan diam. Bagai ada malaikat yang memayungi majlis tersebut, mencurah rahmat. Penduduk langit seolah-olah bertasbih meraikan kebahagiaan ini, Allah...


Al-quran.
Kalam Allah yang mulia.
Diturunkan dalam keadaan istimewa oleh makhluk hebat yang taat kepada Kekasih Allah Nabiyuna Rasulullah SAW.

Alangkah hebat dan beruntungnya apabila lisan kita mampu membaca Al-Quran persis sebagaimana yang dibaca oleh Rasulullah SAW!

Dan ya.

Kakak tadi telah berjaya.

Sungguh, saya tercabar.
Ini bukan anak melayu pertama telah berjaya melakar sejarah mendapat ijazah sanad Al-Quran, malah ramai lagi yang telahpun berjaya menjejak kaki ke tahap ini. Alangkah osemnya mereka ! Tambah menerbitkan rasa takjub dan kagum apabila ada senior daripada jurusan perubatan dan pergigian yang turut pernah memperoleh ijazah ini.

Kenapa saya begitu memuja dan terjatuh kagum dengan mereka ini?

Kerana hanya yang hebat layak mendapat anugerah ini.
Kerana hanya yang juhud mampu sampai ke tahap ini.
Kerana hanya yang kuat bisa menongkah tembok cabaran dalam bidang ini.

Serta-merta teringat saya dengan pesanan dari Ukhti Mahbubah, Sister dari Singapura yang sungguh-sungguh-sungguh saya kagumi akhlak,ilmu dan dirinya ketika terserempak di tepi jalan ketika hampir waktu mahgrib semalam. Kata gadis berniqob dan berjubah serba-hitam itu ,'ana nak sangat tengok nti dapatkan ijazah sebelum nti pulang ke Malaysia..'

Allah, berat mata bagai nak mencurah liquid yang ada. Ini bukan kali pertama beliau mengungkap kata-kata yang sama.

Tahu tak?

Sebelum nak sampai Ijazah, ada dua peringkat yang perlu dilepasi oleh pelajar. Peringkat yang pertama, Tamhidi. Pembelajaran separuh daripada Kitab Tajweed Munir dan hafalan Juz 30 dan Juz 1. Pelajar perlu berhadapan dengan peperiksaan sebelum melayakkan mereka melepasi peringkat Tamhidi seterusnya menjadi lesen untuk pergi ke peringkat seterusnya. Mutaqoddimah.

Mutaqoddimah, pelajar perlu menghabiskan keseluruhan Kitab Tajweed Munir dan menghafal lagi 2 Juz Al-Quran sebelum peperiksaan syafawi dan kitabah dijalankan.

Selepas itu, barulah pelajar layak untuk ke peringkat paling tinggi iaitu Ijazah yang mana pelajar akan mendapat satu Sheikhah khusus yang akan mendengar bacaan AL-Qurannya dari helaian pertama Al-Quran hingga yang terakhir, menghafal 2 juz Al-Quran dan praktikal ilmu dari Kitab Muneer. Allah !

Ia tidak mudah. Apatah lagi untuk pelajar yang bukan sepenuh masa mendalami bidang ini. Memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Tapi tidak mustahil. Saya sendiri mengakui, ia tidak mustahil.
Kerana diri ini pernah menyaksikan kejayaan yang ditempa seorang senior yang sangat hebat dan luar biasa. Beliau yang berjurusan Pergigian itu telah berjaya mendapatkan Ijazah sebelum beliau bergraduasi dalam takhasus pergigiannya, Beliau juga berjaya menghafal 30 Juz Al-Quran ketika di tahun 2 pengajian di Jordan sedangkan dalam masa yang sama beliau memegang jawatan paling tinggi dalam persatuan di Irbid ketika itu.

Osemnya kakak !

Saya?

Sungguh.
Memang hati ini meronta ingin berpijak di tangga yang sama.
Melalui jalan yang sama untuk mendapat kejayaan yang serupa.

Syukur peringkat pertama iaitu Tamhidi telah berjaya saya lepasi walaupun terpaksa menduduki ujian kitabah sebanyak dua kali. Tidak dirancang untuk berimtihan malah tidak bersedia pun, tetapi Allah lebih bijak mengatur. Hati ini belum puas tatkala hanya tangan berjaya menyentuh sijil Tamhidi dengan cetakan nama sendiri di atasnya kerana terlalu kerdil rasanya nak mengaku saya sudah kuasai sebahagian dari Kitab Tajweed Munir itu. Padahal pada hakikatnya begitu banyak lagi yang perlu dimantapkan dan diperbaiki.

Cabaran dalam pengajian perubatan dan dalam masa yang sama menjadi penghafaz Al-Quran separuh masa di Akademi Tahfiz Az-zikr kadang-kala sedikit menggugah jiwa. Ditambah taklif persatuan yang kadang-kadang mencuri masa dan tenaga. Pernah terasa diri ini kalah dan tak bisa mengikut jejak kakak-kakak osem yang pernah saya kenali.

Tapi bukanlah muslim yang bijak untuk berlama-lama melepak di lopak putus asa.
Hidup ini singkat dan cepat. Mana mungkin saya biarkan diri hanyut dan lemas dalam dilema yang mencantaskan ketenangan itu sedangkan saya tahu semua orang mampu melakukan apa sahaja yang dia mahu, Yang penting, ubah sikap dan jaga niat.

Alah biasa tegal biasa, jiwa berbisik.

Pengurusan masa dan kerja sangat penting buat saya di kala ini. Facebook? Whatsapp? Perlu letak tepi dan dikesampingkan. Tak akan menang tangan nak menguruskan segala-galanya atau berlari mengejar matlamat diri andai diri masih dipasung dengan gadjet dan teknologi. Sudahlah !

Pastinya untuk menguasai atau menjadi salah seorang hamalatul Quran adalah menjadi impian utama saya sejak di zaman hingusan.Tentunya tak akan berhenti impian dan usaha untuk menggapai hasrat ini selagi nadi masih aktif berdenyut dan darah masih lancar mengalir dalam salur darah.


Kerana mencintai Al-Quran itu bermakna kita mencintai hadiah pemberian Allah.
Kerana menguasai Al-Quran menjadikan kita faqeh dan lebih faham tentang agama.
Maka, ini bukanlah impian biasa-biasa.
Bukan juga angan-angah cap ala-ala Mat Jenin di atas pokok kelapa.

Al-Quran, bukan chenta biasa.
Pastilah saya juga perlu menjadi luar biasa untuk mendapatkan sesuatu yang tidak biasa-biasa.

Semoga langkah ini dipermudahkan. Semoga tangan ini mendapat pimpinan Tuhan.

Akak.. Pst Pst Pst

"Akak. Jom pindah?"

Saya tercengang.
Hah? Ribut tak ada Tsunami tak muncul, tiba-tiba adik di hadapan saya ni ajak pindah. "

"Pindah ke mana, dik?"

"Pindah rumah lah akak. Jom pindah ke Sheikh Khalil?"

"Buat apa akak nak pindah? Rumah akak dah best sangat dah. Besar macam Gym. Nak buat larian 10 meter dan lompat anak beruang pun boleh. Nak buat apa pindah lagi?"

Saya pelik. Kepala berputar mentafsir maqosid pelawaan pindah dari adik berniqab ni.

Lisa Surihani (bukan nama sebenar), Pelajar Tahun 1 Perubatan. Anak Kelantan ini agak menjaga penampilan dan hurm, manja dan kelihatan begitu teruja sekali apabila bertembung dengan saya. Saya pun tak tahu kenapa sedangkan saya bukanlah atres jelita bermata ikan nemo yang menjadi pojaan gadis dan jejaka. Kami pun hanya berkenalan gitu-gitu sahaja selepas beberapa kali terserempak di perpustakaan universiti.

4 hari Lepas saya ada Menerima friend request Darinya namun Terpaksa Ditolak kerana Jumlah Kawan yang telah Mencapai Angka siling. Mark Zuckerberg tak bagi pasang kawan banyak-banyak tuh.

Untuk tak menghampakan, saya menegur beliau di mukabuku. Teguran santai dan otai.

Tak sangka 3 hari seterusnya, saya bertembung dengan dia di tempat yang berbeza. Aturan Allah mungkin.

"Akak ... Jomlah pindah .." Dia tak putus asa menyuarakan hasrat hatinya.

"Lisa dah dapat rumah ke?"

"Rumah dekat Sheikh Khalil tu lah. Tapi sebenarnya ada sahaja orang yang pelawa masuk rumah diorang tapi Lisa tak nak!"

Matanya mengecil. Dia melihat sekeliling untuk memastikan tiada budak Melayu yang mendengar perbualan kami. Kami berjalan beriringan menuju ke pintu keluar perpustakaan.

"Akak. Sebenarnya, ada kakak yang ajak saya tinggal dengan diorang, Tapi diorang tu ISMA. Abang saya tak bagi saya masuk rumah diorang."

Berkerut dahi saya 3 inci mendengar ucapannya itu. Aneh. Apa masalahnya kalau tinggal di rumah ISMA? Bukankan rumah ISMA, atau rumah apa pun tetap ada pintu dan tingkap? Jadi, apa perlu dirisaukan lagi?

Benak saya memuntahkan pelbagai tanda tanya. Mencari jawapan yang entah di mana. Lantas mulut ringan bertanya, "Kenapa abang awak tak bagi masuk rumah ISMA?"

"Sebab saya IKRAM!"

OH. Okay. Terjawab sudah persoalan yang kedua.

ISMA dan IKRAM. Tidak ketinggalan HALUAN.
Inilah keistimewaan bumi Jordan atau khususnya Irbid. Meriah dengan kepelbagaian NGO. Entiti yang berasal dari Malaysia yang dianggotai warga penuntut ilmu di Jordan.

Saya tidak memihak pada mana-mana entiti. Kerana di hati saya selamanya PERMAI. Tiada perbalahan, tiada persengketaan. Kerana PERMAI itu untuk semua. Persatuan pertama yang menyapa mesra dan melayani saya tatkala kali pertama menjejak kaki keluar dari Malaysia menuju ke Negara Timur Tengah ini.

Itu bukan persoalan dan perkara pokok yang mahu saya semai di ruangan kecil ini.

Cuma ..
Gelagat comel adik tadi.

Melihat sekeliling seolah-olah Inspektor Polis yang sedang dalam misi memerangkap penjenayah No 3 Malaysia sebelum membuat konfesyen tak rasmi kepada saya bahawa dia adalah ahli IKRAM.

Senyum.

Sedikit kelakar.

Kehairanan menjentik minda mengapa dia begitu berjaga-jaga untuk menyatakan identiti NGO yang disertainya. Apakah ada konsep Sir Wa Haza yang diterap dalam jemaahnya atau dia bimbang akan dilabel dan dipulau oleh rakan yang berlainan jemaah.

Tapi ..

Tak pasti pula kenapa dia berani mengaku ahli NGO dengan saya padahal kami hanya berkenalan beberapa hari sahaja. Agaknya mungkin dia fikir saya dari IKRAM kut.

Angkat bahu. Otak terus berfikir menterjemah persoalan.

Semua orang ada kehendak. Semua orang berhak membuat pilihan.
Saya tidak menyebelahi mana-mana NGO kerana fikrah saya lebih kepada Persatuan dan tugas amal jama'ie sebagai da'ie untuk semua. Bukan untuk mana-mana NGO tetapi untuk semua masyarakat PERMAI. Ironinya, semua ahli NGO itu adalah warga PERMAI.

Tiada salah menyertai mana-mana jemaah. Lebih baik juga bersama kumpulan daripada bersendirian.
Cuma, hadirkanlah kefahaman dan pengetahuan dalam menyertai jemaah Islam.

Kenapa aku sertai A dan bukannya B?
Apa lebihnya A dan apa lebihnya B?
Bagaimana pendekatan dan cara yang digunakan A dan B untuk mencapai matlamat Z?

Hakikatnya semua jemaah itu mendukung cita-cita ingin mencapai target yang serupa cuma masing-masing ada cara yang berbeza. Terserah. Tetapi pada saya, kesatuan itu lebih utama. Kerana perbezaan akan melahirkan perpecahan dan akhirnya perjalanan mengejar matlamat hanya terbantut di tengah jalan tatkala api persengketaan menyala bagai Si Qabil dihasut Syaitan bila tak dapat berkahwin dengan Iqlima, saudara kembarnya. Biarlah ada perbezaan tapi tetap kita cuba cungkil persamaan lebih dari perbezaan.

Bila sudah ada kefahaman, maka yakinlah. Beranilah untuk membawa identiti kalau anda yakin anda sudah berpijak dengan apa yang anda cari. Terserah, asalkan terus di bawah lembayung dakwah dan tarbiah. Jangan sesekali bersendiri.

Satu fenomena yang saya lihat, seringkali pelajar baru ditarik ke dalam sesuatu jemaah tanpa ada kefahaman yang jitu. Hanya berlandaskan kebaikan orang yang menarik, maka hati mereka terikat menyertai jemaah tersebut. Hanya berlabelkan junior kepada senior dari jemaah itu, maka secara tak langsung dia perlu ikut jejak si senior tersebut. Penyertaan yang tidak disertakan kefahaman inilah menjadi punca hadirnya ketidakyakinan dan takut-takut. Biasa. Fenomena biasa saban tahun. Malah gelombang ini juga pernah dirasai saya satu masa dahulu.


Alhamdulillah, saya memiliki prinsip sendiri. Biarpun tandus dengan pengetahuan berkaitan jemaah, perjalanan saya sebagai pengembara di bumi Jordan ini sedikit sebanyak membuka ruang baru dalam minda. Istilah baru semakin dekat dan mudah untuk dicerna.

Jemaah. NGO. Persatuan. Dakwah. Tarbiah. Usrah,

Fuhh. Macam berat. Tapi saya dah sedar, saya bukan lagi kanak-kanak yang mindanya hanya terpetak dengan rutin, pergi sekolah, main patung Barbie, makan, main lagi dan tidur. Sudah masanya saya luaskan minda dan sumbangkan tenaga dalam saluran yang ada. Cuba untuk menjadi anak muda yang bermanfaat biarpun saya masih terus kekal dengan hobi membina istana pasir di kaki pantai. Selagi masa masih ada dan dunia terus berputar arah lawan jam, tak akanlah saya nak menjadi manusia yang hanya senang duduk dan terleka dibuai kesenangan yang sementara?

Tentang Lisa ...

"Awak nak tak tinggal rumah akak? Ada housemate akak yang nak pindah nanti .."

Ek .. Matanya terkebil-kebil. "Akak tinggal dengan siapa"

"Akak tinggal dengan bekas Ketua Helwi PERMAI, Setiausaha PERMAI dan AJK PINTAR PERMAI. Rumah akak bukan RI (Rumah Islam) tapi rumah akak RIP (Rumah Islam PERMAI)."

"Akak .. sebenarnya saya tak kisah pun kalau tak duduk rumah RI. Rumah yang bukan RI pun okey .."

Senyum.

Moga dia tahu, tinggal di kelompok yang bukan kumpulannya tak bermaksud dia membawa identiti yang berbeza. Biarlah wujud perbezaan, tapi kita mesrakan dengan persamaan.

Tak perlu berbalah dan bersengketa apatah lagi takut dan serba tak kena.
Kita masih sama.
Syurga tujuan kita.