Selaju kilat tangan ini membuka pintu kereta kuning bertayar 4 itu. Terus menghumbankan diri ke dalam perutnya .
" Assalamu'alaikum. "
Tiada jawapan.
Bukan muslim kut dia, sebab tu dia tak jawab salam aku, getus hati ini sendiri .
It's okay.
Kat Jordan, memang susah pun nak beza yang muslim dengan non-muslim. Muka semua sama , bahasa juga serupa .
Ada kawan arab saya, freehair. Saya ingat dia Kristian.
Tapi, semalam saya dengar dia sebut ' La ilaha illa Allah. ' Tercengang saya mendengarnya.
Ada juga kawan yang lain , juga freehair. Sekali pernah terserempak dengan dia di masjid universiti. Siap boleh dengar bacaan Al-Quran saya dan betulkan makhraj huruf. Ternganga diri ini .
Kereta terus bergerak menuju destinasi.
Kira kira sudah hampir sampai di tempat biasa saya berhenti, segera saya minta pemandu teksi berkulit gelap ini berhenti .
" Yu'tikal 'afiyah "
Pacuan beroda itu berhenti.
Seperti biasa juga, saya hulur 1 dinar.
Tambang dari Stesen Bas Sheikh Khalil menuju ke rumah saya di Universiti Yarmouk cumalah 1 dinar .
Tiba-tiba..
" Dinar wan nus . "
Huh? 1.50 dinar?
Hey? Saya salah dengar ke?
" Taklah. Biasanya saya naik teksi, cuma sedinar. "
" Tak. 1.50 dinar. "
" Eh. Mahal ni. 1 dinar saja cukup. "
" 1.50 dinar! "
" Tak boleh! Ini mahal dari biasa. Haram! "
" Tambang sekarang dah naik. 1.50 dinar. "
Jangan nak gebang! Saya dah 4 tahun menjadi penghuni Jordan. Bukan sanfuurah yang boleh dikelentong sesuka hati. Walaupun muka ini macam kanak-kanak tadika lagi, tapi otak bergeliga macam kancil tau! Ini anak melayu , wirawati negara paling berjiwa kental keluaran kem PLKN di Malaysia. Jangan main tipu tipu dengan saya !
" Sedinar cukup.. "
" 1.50 dinar. "
" Sedinar! "
" 1.50 dinar! "
Heyyy.
" Sudahlah..! Saya bayar 1.25 dinar pada awak. "
" Tak! 1.50 dinar! "
Tajam mata ini melihat wajahnya. Berani.
Saya susah nak pandang ajnabi dengan jarak yang dekat begini tapi kalau dah marah , tembus langsung mata dia saya perhati . Sengaja dikecilkan lagi mata dan dikedutkan dahi macam baju baru keluar dari spinner mesin basuh.
Dia dah teragak-agak.
This is my chance!
" Okay . Baiklah. 1.25 dinar. "
Saya mencapai dompet dan keluarkan syiling lagi 25 qursh yang kalau ditukar ke ringgit Malaysia, jumlahnya adalah RM 1.50 . Mahal.
Wajah sengaja dikekal masam tanda protes.
Setelah 1.25 dinar diberi, tiba-tiba...
" Lagi 0.25 dinar "
Hey!!
Kali ni memang nak mengamuk dah. Kau memang sengaja mahu cari pasal ye?
" Mana boleh! 1.25 dinar saja! Tu kat tangan awak tu saya dah bagi tambang yang sepatutnya. Ingat saya tak pandai matematik ke, hah??! "
Dia dah kecut.
" Ya. Dah la. Pergi la. "
Saya bukak pintu teksi laju-laju.
Permainan hampir tamat.
BAAAANNNNGG!
Pintu kereta dia saya hempas sekuat jiwa raga baldi tong gas bakul sampah.
Biar .
Kalau lekang pintu kereta itu, sampai kucing pandai masak Nasi Kerabu dan bancuh Teh Tarik pakai susu F&N pun aku takkan ganti pintu kereta kau ! Penipu..!
End of hectic day .
Segera istighfar laju-laju. Moga tak terpekuk dengan amarah yang mengganas . Emosi diri masih stabil.
Berlalunya kereta itu dari pandangan ini, saya tersenyum puas.
Inilah taktik saya hari-hari.
Sudah 3 minggu berturut-turut, memang hampir setiap hari kena bergaduh dengan Pemandu Teksi untuk mendapatkan tambang yang sepatutnya. Selalunya tak pernah kalah. Ya. Belum pernah kalah. Saya selalu dan sentiasa menang.
Kali ini juga, menang. (Masih dikira menang walaupun terpaksa jugak bayar tambahan 0.25 dinar. Tak apa, janji bukan seperti yang dia mahu - 1.50 dinar.)
Kalau di Malaysia, bergaduh tak tentu hala macam ni, orang boleh label kita kurang ajar. Tambah lagi kalau pemandu itu orang yang lebih tua dari kita.
Tapi, di bumi manusia bercakap guna bahasa Arab ini, bergaduh macam ini adalah satu kewajipan kalau kau tak nak mudah ditipu.
Dari tahun 1 saya menghuni Jordan, saya belajar bertinju kata dengan orang-orang Arab yang tak semuanya hati semulia Nabi Musa. Di sini banyak ragam orangnya .
Ada yang sebaik Nabi bagai tak nampak lemahnya di mana-mana. Dan..
Ada juga yang seangkatan dengan Ifrit, tak boleh diungkap jahatnya serupa apa.
Bila ada orang yang cuba buat jahat dengan saya , tak akan pernah saya diam membisu.
Biar. Jangan pernah bagi muka pada mereka yang mahu menindas.
Biar. Biar dia tahu bahawa pelajar Malaysia tambah gadis kecil macam ini tidak mudah dipermainkan sewenang-wenangnya.
Biar. Baru dia tahu bahawa doktor baik yang pijak tikus pun tak mati ini boleh saja bertukar jadi raksasa Gorgon kalau kau berani kacau kemakmuran jiwanya.
Duhai.
Sebab jauh dari ibu abah , maka diri sendirilah bertanggungjawab menjaga diri sendiri.
Nak gaduh, gaduh sendiri.
Nak marah, marah sendiri.
Semua harus bertindak sendiri - harus ajar diri berdikari.
Berbaki lagi 2 tahun lebih pengajian di bumi Syam ini . Dada yang tebal harus dipersiapkan agar tak mudah runtuh tatkala dirempuh perangai rakyat bumi ini yang pelbagai ragam wujudnya .
Semoga disabarkan hati terus . Kerana ada lagi insan yang dahsyat teruji dengan perangai orang-orang Arab di sini .
Antaranya, Musa Nuwayri .
Jarak beribu batu,
Irbid, Jordan | 09022017
Comments