Tak Perlu Jampi Serapah.
Yang Penting Beradab dengan Guru
dan Jaga Disiplin Diri.
Dah.
Begitulah intro untuk kisah seorang malaikat, eh, maksud saya seorang manusia 16 tahun yang sangat baik, bijak lagi cerdas ini.
Iskandar ( bukan nama penuh dalam IC ) adalah satu-satunya pelajar yang berjaya mendapatkan Sijil Tahfiz Malaysia berbanding sahabat-sahabatnya yang lain yang turut selesai menghafaz Al-Quran di MTS.
Untuk pengetahun, sijil Tahfiz ini bukan mudah-mudah untuk diambil sebab kualiti hafazan para huffaz merupakan kriteria utama yang dinilai. Entah, saya tak tahu banyak tentang ini. Tapi, begitulah cerita adik lelaki saya , antara pelajar yang turut mengambil ujian Tahfiz yang sama dan tak lulus.
Di KFC KLIA, menanti flight domestik untuk ke Pulau Pinang, saya melepak dengan adik lelaki sementara jam belum melangkah ke waktu Subuh. Murakib KLIA , itulah gelar saya pada si adik yang pertama kali boleh teman kakaknya naik flight untuk pulang ke kampung halaman.
" Angah, exam Tahfiz hari tu, tak luluslah.. " Kekecewaan bagai terlukis di riak wajahnya.
" Susah eh? Ada yang lulus tak? "
" Susah. Tapi ada yang lulus. Tu pun budak paling rajinlah.. Iskandar. "
Saya teruja. Tentu ada sesuatu kelebihan yang tertampal pada anak itu hingga dia boleh mendahului rakan-rakan yang lain.
" Dia pandai ya? "
" Pandai dan disayangi abi (guru-guru) "
" Adik kenal dia ya? Apa keistimewaan dia? Teringin angah nak tahu "
" Dia baguslah. Takdak orang lain macam dia.
SATU .
DIA JAGA ADAB DENGAN GURU
Dalam kelas, jangan harap nak dengar dia sembang. Kalau ada orang ejek dan ajak sembang, langsung tak dilayan. Tidur atau melengung letak tangan di dagu pun tak pernah. Dia sangat jaga adab dengan guru. Apa yang abi suruh buat, dia akan buat walaupun abi tak ada depan mata. Tak ingkar. Sebab itu Abi sayang sangat kat dia. Kalau kami yang lain, abi tak ada, tidurlah jawabnya, mana nak mengulang Quran macam dia. Tambah lagi kelas kami ada penghawa dingin. Selesa luar biasa.
DUA .
DISIPLIN
Orang pertama yang akan bangun dari tidur, dia.
Orang pertama yang akan masuk kelas, dia.
Orang pertama yang akan masuk surau bukak lampu dan kipas, dia. Adik pernah nak lawan keawalan dia tu. Hm. Berjayalah. Tapi, cuma sekali. Lepas tu, dia datang lagi awal. Aduh.
Dia atas katil pun mengulang lagi. Tidur paling lambat.
Dia ni kategori akhlak yang sangat masyaAllah lah. Baik sangat orangnya. Lembut dan jenis tak buat masalah. Ikut je peraturan. Orang kita cakap, skema. Tapi sebab dia macam tu lah, dia berjaya dan disenangi semua.. "
Seketika mata saya terbuka luas. Jatuh kagum pada si skema bernama Iskandar ini. Skema ke arah kebaikan, apa salahnya?
Banyak manusia hebat dan cemerlang yang saya dengar kisah mereka, ada sesuatu rutin hidup mereka yang tak sama macam orang lain. Mujahadah mereka untuk rutin itu juga tak sama macam orang biasa.
Saya kita, itulah kunci kejayaan sesiapa pun.
Kalau mahu berjaya, usaha harus luar biasa.
Kalau usaha biasa-biasa, usah melatah bila apa yang dikejar tidak digenggam akhirnya.
" Dik, orang macam tu, kita kena jadikan contoh. Sebab, kalau nak jadi hebat, teman kita juga harus yang hebat-hebat. Bukan hebat power, tapi hebat peribadinya. "
🙂
27072017
Irbid | Jordan
Comments